Memorandum : Antara Professionaliti dan Kematangan Mahasiswa
Memorandum merupakan antara satu medium yang sering kali digunakan oleh pelbagai pihak untuk menyampaikan pendapat mereka kepada satu pihak yang lain menggunakan satu saluran diluar perbincangan. Apa yang sering dilakukan pada penyerahan memorandum adalah pengumpulan golongan-golongan yang cuba menyampaikan pandangan mereka dan akan bertemu dengan pihak yang bertanggungjawab.
Dalam konteks perbincangan mahasiswa, memorandum biasanya sering digunakan oleh mahasiswa untuk menyampaikan suara kepada pihak universiti apabila pandangan mereka tidak diambil perhatian oleh pihak universiti melalui perbincangan tertutup.
Dan, apabila dinilai dari sudut profesionaliti mahasiswa, penyerahan memorandum merupakan pilihan terakhir yang dapat dilakukan terutamanya jika pendapat mereka tidak dapat disalurkan melalui saluran yang betul.
Namun, kematangan kumpulan mahasiswa akan dipersoalkan sekiranya memorandum dijadikan sebagai "Langkah Pertama" tanpa mengambil kira langkah lain yang boleh diambil. Tindakan menjadikan penyerahan memorandum sebagai langkah utama dilihat sebagai tidak matang sekiranya pintu perbincangan telah terbuka luas oleh pihak universiti bagi membincangkan masalah-masalah yang dihadapi.
Dan lebih menampakkan ketidakmatangan mahasiswa, jika memorandum itu diserahkan oleh Pemimpin-pemimpin tertinggi pelajar tanpa sebarang perbincangan dengan pihak universiti sebaliknya terus dibawa "ke jalanan" dengan cara penyerahan memorandum. Tindakan ini dilihat sebagai tidak matang kerana segala peluang yang diberikan tidak digunakan oelh "pemimpin-pemimpin muda" ini.
Soal profesionaliti pelajar juga akan tergugat, tatkala segala formaliti tidak mampu dituruti namun terus mengambil tindakan membawa isu-isu tertentu untuk digempar-gemburkan. Hal ini secara tidak langsung dapat mencalarkan nama baik universiti
Cuba anda bayangkan, tindakan segolongan kecil yang membawa isu-isu ini ke jalanan sebenarnya telahpun membawa bersama nama keseluruhan mahasiswa universiti. Mungkin, kita di dalam universiti boleh membezakan tindakan-tindakan Puak A dan Puak B, namun, bagi orang awam diluar sana, segala tindakan satu pihak, akan terus dilabel tindakan seluruh universiti, adakah anda sanggup nama anda tercalar atas tindakan tidak matang golongan-golongan lain.
Namun begitu, tidak semua memorandum dikatakan sebagai tindakan yang tidak matang, kerana ada dikalangan mahasiswa kita yang cakna terhadap isu semasa lantas bertindak bangkit untuk melawan dan saya kira ini satu tindakan yang berani.
Sebagai mahasiswa, kita seharusnya dapat menilai, tindakan yang bagaimana dapat mengangkat nama mahasiswa dan seharusnya menghindari segala tindakan yang dapat mencalarkan maruah dan persepsi masyarakat terhadap golongan mahasiswa.
Antara Majlis Penyerahan Memorandum Yang Pernah Berlaku Di Malaysia
Isu : Tuntutan untuk PRK tanpa campur tangan Pengetua-pengetua Kolej
Kampus : Universiti Teknologi Malaysia
Penyerahan memorandum diketuai oleh Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Leftenan Muda Ku Abdul Muhyi pada 11 Februari 2011. Tuntutan ini timbul atas alasan Pengetua Kolej memberikan kebenaran penuh kepada calon Evolusi untuk menggunakan kemudahan kolej pada Pilihanraya Kampus penggal yang lalu.
Isu : Kemasukan kaum bukan bumiputra ke UiTM
Kampus : UiTM
Seramai 5000 pelajar UiTM telah berarak ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada 12 Ogos 2010 susulan cadangan pembukaan kuota kemasukan bukan bumiputra kedalam UiTM oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Berhimpunan berkenaan diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan UiTM, Luqmanulhakim Mohamad Idris. Isu ini kemudiannya dicadangkan untuk terus dibawa ke Yang Di Pertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin agar perbincangan kuota pelajar UiTM tidak akan dibangkitkan lagi.
Isu : Penganjuran Pentarama di dalam Universiti
Kampus : Universiti Malaysia Pahang
Memorandum protes menentang penganjuran Pentarama, anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan atas alasan muzik yang dimainkan ketika program berkenaan terlalu kuat dan mengganggu pelajar di Kolej Kediaman. Memorandum diserahkan melalui Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang, Saudara Fazli Abdul Halim, kepada Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim sejurus selepas solat Jumaat pada 25 Mac 2011.
Isu : Pembinaan Loji Nuklear di Malaysia
Kumpulan : Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Memorandum dirancang untuk diserahkan melalui Ahmad Syukri Andul Razak, Presiden GAMIS yang mana mengandungi 100 soalan yang perlu diawab oleh Kerajaan Malaysia berhubung pembinaan loji nuklear di Malaysia di dalam persidangan Dewan Rakyat. Memorandum yang diusulkan sekadar untuk mendapatkan jawapan dari pihak kerajaan dan bukan satu tindakan protes terhadap pembinaan loji nuklear di Malaysia. Penilaian sokongan atau bantahan hanya akan dilakukan setelah jawapan diterima dari pihak kerajaan.
Isu : Penglibatan Parti Politik Dalam Pilihanraya Kampus
Kampus : Universiti Putra Malaysia
Memorandum diserahkan oleh 50 ahli Pro-M UPM dengan membawa keranda ke bangunan pentadbiran. Pro-M mendakwa ada calon yang ditaja oleh parti-parti politik tertentu untuk pilihanraya kampus. Protes berkenaan telah diketuai oleh Pengerusi Pro-M UPM, Syed Syafiq Syed Hashim. Memorandum telahpun diserahkan kepada Naib Canselor, Datuk Dr. Radin Omar.
Ini antara penyerahan memorandum yang pernah dilakukan di universiti-universiti seluruh Malaysia. Anda dapat menilai sendiri, ada diantara memorandum dihantar dilihat sebagai satu tindakan yang kukuh manakala ada juga memorandum yang dihantar sekadar menjustifikasikan ketidakmatangan mahasiswa. Pilihan ditangan anda, samada ingin berjuang atas nama perjuangan mahasiswa ataupun sekadar dilabel sebagai mahasiswa yang menjadikan pembawaan isu ke jalanan sebagai satu budaya. Pilihan di tangan anda....
0 Response to "Memorandum : Antara Professionaliti dan Kematangan Mahasiswa"
Post a Comment