PRK 2011 : KEMBALIKAN ROH MANIFESTO
Rata-rata universiti seluruh Malaysia telahpun menutup tirai kempen Pilihanraya Kampus 2011 dan telah membuka pentas beraksi buat barisan kepimpinan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2011/12. Dan, seperti kebiasaan dalam setiap pilihanraya, peluang bermanifesto akan diberikan kepada calon sebagai satu cara untuk memudahkan para pengundi memilih pimpinan yang terbaik yang mampu membawa universiti ke sebuah tahap yang lebih tinggi.
Namun, disebalik hak bermanifesto, masih ramai pengundi yanng mengabaikan aspek ini. Ada yang mengundi tidak berdasarkan cadangan dan visi seseorang calon, sebaliknya, perkara lain yang menjadi tumpuan dan daya tarikan untuk mengundi calon pilihan.
Seperti biasa, ada pengundi yang menilai kepada paras rupa, jantina, kursus calon dan lebih menyakitkan, apabila kaum calon itu yang dinilai.
Kalau dilihat semula, adakah calon dengan wajah ganteng, paras ayu ini mampu menjalankan tugas dengan baik? Lebih menyedihkan, seringkali penilaian terhadap kaum yang dilakukan, walaupun seseorang calon mempunyai idea yang jelas terhadap kepimpinan yang bakal dibawakan, namun, disebabkan bangsa, calon ini tidak menjadi pilihan pengundi, meskipun, pengundi sedar akan keupayaan calon berkenaan.
Selain gaya undian begitu, ada juga gaya undian yang lain. Jika sesuatu kawasan mempunyai bilangan pengundi lelaki yang tinggi, maka, calon wanita sudah pasti mudah mendapat sokongan oleh pengundi-pengundi lelaki.
Kalau dilihatkan semula, manifesto merupakan satu medan untuk kita mendedahkan idea dan pendapat terhadap cara pentadbiran yang kita cadangkan apabila berjaya memegang jawatan kelak.
Namun, ada juga sesetengah calon, yang sekadar naik ke atas pentas, memperkatakan sesuatu perkara yang hanya mengharapkan teriak gempita penyokong, mengkritik pihak universiti demi sorakan, namun, sedar tak sedar, tiada satu perkara dan visi pun yang dibawa oleh beliau. Dan lebih menyedihkan lagi, apabila calon seperti ini, diangkat sebagai pemimpin dan akhirnya, tidak mampu memimpin apabila masuk kedalam dunia kepimpinan dengan otak yang kosong.
Satu keadaan mudah yang dapat saya tunjukkan, antara calon yang lantang bersuara namun tanpa sebarang idea berbanding calon yang tidak begitu baik communication skills nya yang penuh dengan idea bernas, pengundi akan lebih mudah memangkah calon yang berkata-kata manis ini. Tidak dinafikan, communication skills ini penting, namun sedar ataupun tidak, kemampuan daya fikir yang kukuh dan idea yang bernas diletakkan pada priority yang lebih tinggi dari kemahiran bertutur kata. Dan, kita harus sedar, bahawa kemahiran bertutur akan dapat diperolehi oleh calon sepanjang perjalanan beliau sebagai pemimpin. Namun, untuk melatih pemikiran kritis, bagi saya, satu penggal masih belum mencukupi, dan bagi calon yang mempunyai kemahiran pemikiran kritis seperti inilah yang wajar kita angkat sebagai pemimpin.
Tulisan ini merupakan satu luahan, kerana terlalu kecewa tatkala pengundi tidak mementingkan fikiran sebaliknya perkara lain yang mereka utamakan. Percaya atau tidak, akhirnya, pengundi yang mengundi tanpa pengamatan mendalam inilah yang akan menjadi penentang terhebat calon yang pernah mereka pilih dahulu.
0 Response to "PRK 2011 : KEMBALIKAN ROH MANIFESTO"
Post a Comment